June 12, 2010

Aku Berteduh Di Pohonan Rapuh

Part I

Mentari muncul semula di sudut timur seperti hari-hari semalam. Pagi yang suram. Dingin sangat dirasai. Tidak seperti semalam. Terkais-kais aku cuba mencari kain selimut yang sudah entah kemana. "Urgh..." Mengeliat. Membengkokkan badan, membentuk diri seperti seekor udang. Belum sempat roh mahu keluar bersiar-siar semula. "Tetaplah menjadi bintang di langit.. agar cinta kita akan abadi..." Nada dering dari telefon bimbit aku terus-menerus berbunyi.

"argh... siapa pula yang kacau ni." Aku merungut. Mencelikkan sebelah mata. Aku melihat skrin telefon memaparkan nama 'Cik Anis'. "Hello.. anis.." Aku menjawab panggilan dengan suara garau. "Hei, dah bangun? Macam mana projek hari ni? Kalau lambat, semua kerja tak selesai nanti." Si anis berbicara lantang. "Erm.. Sudah.." Jawabku. "Ada apa-apa lagi ke anis..." Aku bertanya ringkas. Aku terlalu malas untuk melayan perbualan telefon dikala pagi yang sangat sesuai untuk aku bangun lewat. "Kau ambil aku jam 2 petang. Kereta aku tak ada. Sarah pakai semalam. Boleh tak?" Anis bertanya meminta kepastian. "Ye.. boleh.. okeh lah. Bye.." Aku mematikan cerita dengan pantas. Menarik selimutku kembali.





Anis, gadis berumur 25 tahun. Berstatus bujang dan seorang yang periang. Kami sudah berkawan hampir 8 tahun. Sepanjang perkenalan kami, aku tahu dia sangat di minati oleh kaum lelaki. Cuma dia mempunyai suatu sikap. Sikap yang membuatkan dia masih belum berpunya iaitu dia sudah tidak mempunyai kepercayaan terhadap cinta lagi setelah hubungannya tewas bersama bekas kekasih satu ketika dahulu. Mungkin juga dia masih sayang kepada bekas kekasihnya. Soalan ini tidak pernah aku tanyakan padanya.

Aku bangkit dari tidur. Mencapai tuala dan pencuci muka. Setelah selesai mandi, aku pantas bersiap. Kemudian aku melihat waktu menunjukkan jam 2.25 petang. Aku segera menghidupkan enjin kereta dan terus bergegas ke rumah Anis.

"Tiinn! Tiinn!" Aku membunyikan hon kereta setelah sampai tepat di hadapan pagar rumahnya. Si Anis keluar menuju ke arah ku. Aku hanya tersenyum simpul dari dalam kereta. "Cari siapa?" Katanya yang membuatkan aku terus tersenyum lebar. "Err.. saya cari Cik Anis yang lawa dan comel tu. Dia ada di rumah?" aku menjawab dengan gurauan dan senyuman mesra. "Cik Anis tak ada. Dia sudah keluar jam 2 tadi." katanya tegas. "Oh jadi yang comel-comel ini siapa?" kata ku tersenyum sumbing. "Ini encik kaki pukul yang mahu pukul kamu" Balasnya keras. "Hahaha. Maafkan saya encik. Saya terlewat disebabkan menghantar isteri ke pejabat." Menjawab dengan penuh senyuman. "Kau kalau sudah lambat, jangan senyum macam tu boleh tak?" katanya yang juga turut tersenyum kemudian. Sangat manis bila dia tersenyum.

Kami meneruskan perjalanan. Menyelusuri jalan besar untuk memasuki bandar Anggerik. Tujuan perjalanan hanya satu iaitu menghantar kertas kerja kepada pelanggan. Setelah selesai, kami bercadang untuk minum petang bersama. Kami sepakat untuk ke Suhaimee Cafe kerana ada wifi percuma di situ. Kami selalu juga ke sana. Mungkin kerana persekitaran kedai itu membuatkan kami selesa untuk melepak dan berbual.

Dalam perjalanan menuju ke Suhaimee Cafe, telefon bimbit Anis berbunyi. Aku lihat Anis cuma memerhatikan skrin telefon bimbitnya dengan pandangan yang suram bagiku. "Siapa? Kenapa tak jawab?" Tanyaku yang kehairanan. Anis menoleh kepada ku dengan riak wajah yang biasa tetapi bagi ku dia cuba berselindung tentang sesuatu. "Tiada siapa. Mungkin salah nombor. Lihat, aku tak simpan nombor telefon ni." Penerangannya kepada ku.

"Erm.. pelik." Kata hatiku serta merta. Sepuluh minit kemudian kami sampai ke destinasi. Setelah selesai memesan minuman, aku membuka komputer riba. Melayari internet. Anis cuma mendiamkan diri sambil menaip sesuatu di telefon bimbitnya. Aku tidak menegur. Aku meneruskan kerja melayari internet. Setelah pesanan minuman sampai, Anis menegur aku. "Kita minum sekejap boleh? aku rasa nak baliklah." Katanya dengan nada suara yang rendah. Selesai minum, aku kemas kembali komputer riba ku dan kami berlalu pergi dari situ.

Dalam perjalanan. Aku cuba berbicara secara terus terang kepada Anis. "Kenapa kau Anis? Sejak terima panggilan tadi, kau terus diam. Macam ada sesuatu kau pendamkan?" Aku bertanya sekali gus memecahkan kesunyian di keadaan itu. Anis terus mendiamkan diri. "Cakaplah sikit Anis. Kalau ada masalah, aku sedia tolong. Kau tak percaya aku ke?"Aku terus bertanya kerana aku betul-betul ingin tahu apa yang terjadi sehinggakan dia terus membisu sejak di Cafe tadi. Aku kenal Anis. Gadis riang dan mampu bercakap tanpa henti berjam lamanya. Tiba-tiba Anis menoleh kepada ku. Dia senyum dan berkata "tak ada apa pun. Cuma berfikir tentang kertas kerja kita tadi." Dia senyum. Senyuman yang bukan apa-apa. Itu senyuman menutupi perasaan. Sedangkan mata Anis kelihatan seperti sedang menahan linangan air mata dari berguguran. Tiada apa-apa dan itu mustahil. Aku yakin ada sesuatu yang cuba dia sembunyikan.






Setelah kami tiba di hadapan rumahnya. Aku menolehkan muka ku kepadanya. "Nurul Anissa, aku minta maaf. Aku kenal hati budi kau. Sekarang mungkin bukan masa yang sesuai. Kau boleh cari aku bila kau rasa ingin berkongsi masalah kau dengan seseorang." Anis hanya tunduk menatap telefon bimbitnya. Kemudian dia menoleh kepada ku dan setitis air mata akhirnya gugur di pipi. Lalu dengan nada yang rendah dia berkata "Boleh kau temankan aku malam ni.." Aku terus terpinga seketika. "Kemana?" Tanya ku kehairanan. "Ke rumah seseorang. Tapi kau berpakaianlah seperti ke masjid. Nanti tak sopan di lihat orang." Jawapannya itu membuatkan aku mendesak diri untuk mengetahui apakah cerita yang sebenarnya. Sehinggakan aku perlu berpakaian ke masjid? Namun, aku faham. Dalam keadaan itu, aku perlu lebih peka dan memahami perasaan Anis. "Ok, aku akan teman kau. Nanti malam aku datang dan.. erm.." Belum sempat aku menghabiskan kata-kata Anis perlahan-lahan keluar dari kereta. Aku hanya melihatnya masuk ke dalam rumah.

Sepanjang perjalanan pulang, fikiran aku melayang memikirkan apa yang terjadi sebenarnya kepada Anis. Siapa yang menelefonnya tadi? Mengapa Anis berlinangan air mata? Dan mengapa aku perlu berpakaian seperti ke masjid? Banyak persoalan yang timbul. "Anis, walau apa yang cuba kau pendamkan, aku harap kau ok. Aku kenal kau Anis. Sekadar masalah remeh-temeh kau tak kan sesekali macam ni" Kata hati kecil ku.

Bersambung...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...