June 14, 2010

Aku Berteduh Di Pohonan Rapuh

Part II






Setibanya aku di rumah, aku terus merebahkan diri di atas kerusi empuk ku. Melihat telefon bimbit. Fikiran ku masih melayang memikirkan keadaan Anis. "Kenapa dengan aku ni. Terlalu memikirkan dia." Kata hati kecil ku yang begitu resah. "ah, sudahlah. Aku patut bersiap dulu." Bingkas aku dan segera menuju ke kamar kecil.

Aku bersiap-siap seperti yang di arahkan oleh Anis. Berbaju melayu dan bersongkok. Hati dan perasaan semakin mendesak aku untuk lebih memahami keadaan ini. Mengapa perlu aku berpakaian sebegini?

Sedang asyik fikiran ku melayang, tiba-tiba telefon bimbit berdering. Panggilan telefon dari Anis. Tanpa berlengah aku terus menjawab. "Hello Anis." kata ku ringkas. "Hello.. Kau sudah bersiap. Boleh kau ambil aku jam 8.30 nanti?" Nada suara Anis masih sama seperti petang tadi. Sayu aku mendengar. Aku tau dia di dampari kesedihan sekarang. Mungkin aku perlu memendekkan perbualan ini. "Baiklah. Aku ambil kau di rumah ya." Balas ku ringkas . Kemudian Anis memutuskan talian tanpa sebarang kata.

Kali ini aku menjemputnya tepat masa seperti yang di janjikan. Anis sudah menunggu aku di halaman rumahnya. Dia memakai baju kurung dan selendang putih tersisip di kepala. Kemudian dia masuk ke dalam kereta ku. Aku jadi terkedu seketika. Jarang aku dapat melihat Anis berpakaian seperti ini. Sangat cantik. Pujian ikhlas dari dalam hati ku. Setelah menutup pintu kereta, dia terus menoleh kepada ku. Dia menoleh dengan pandangan yang biasa dan senyuman aslinya lalu berkata "Kau tahu jalan menuju ke rumah Erlina? Kite ke sana ya."

"Eh? Kite ke rumah Erlina?" Aku bertanya tegas. Terkejut. Ketika itu aku benar-benar rasa sesuatu yang kurang baik akan berlaku. Aku benar-benar bingung dengan semua ini. Anis cuma mendiamkan diri. Tidak lagi menoleh muka kepada ku. Apa yang telah berlaku sebenarnya?








Erlina, 24 tahun adalah seorang gadis tinggi lampai. Dia merupakan salah seorang daripada rakan Anis. Mereka sangat akrab ketika berada di zaman kolej dahulu. Namun begitu, Erlina lebih di gemari oleh kawan-kawan lelakinya. Mungkin kerana dia memiliki rupa paras yang cantik atau dia mungkin mempunyai ciri-ciri yang di idamkan oleh Sang Adam.

Aku memandu menuju ke destinasi iaitu rumah Erlina. Dalam keadaan itu, aku sesekali menoleh pada Anis. Aku lihat dia hanya tunduk dan mendiamkan diri. Agak gusar hati ku melihat keadaan dia sebegitu. Lalu aku fikir lebih baik aku menegur. "Anis, masih rasa sedih?" kata ku dengan nada yang lembut. Namun anis tetap diam dan terus membisu.

Setengah jam kemudian, kami sudah sampai ke taman perumahan tempat Erlina tinggal. Mencari barisan lorong rumahnya yang hampir aku terlupa di mana kedudukan rumah Erlina. Kemudian aku menyusuri sebuah lorong. Kelihatan seperti sebuah rumah sedang mengadakan suatu majlis. Aku perhatikan rumah itu dengan tepat. Aku yakin itu adalah rumah Erlina. Sangkaan pertama ku dia mungkin mengadakan majlis kesyukuran atau sebagainya. Sudah terjawablah persoalan mengapa aku perlu berpakaian seperti ini. Namun begitu, aku tetap berasa hairan tentang Anis. Jika Erlina menjemputnya datang ke majlis, mengapa pula Anis perlu bersedih?

Aku memberhentikan kereta ku. Aku membetulkan songkok ku di kepala. "Erm, Anis. Kita sudah sampai ni." Aku memberitahunya dan kemudian hanya melihat dia keluar dari kereta. Kami berjalan kaki menuju ke halaman rumahnya. Semakin kami menghampiri rumahnya, semakin jelas aku mendengar bacaan doa yang datang dari rumah itu. "Eh? Ini bacaan Surah Yasin. Ya, aku yakin benar ini adalah bacaan Surah Yasin." Kata hati kecil ku kehairanan. Aku memasuki halamannya dan kemudian bersalam-salaman dengan yang lain.

Aku yakin salah seorang ahli di dalam rumah ini telah pergi meninggalkan dunia dan kembali ke sisinya. Aku dan Anis kemudian menjejakkan kaki ke dalam rumah.

Sesungguhnya aku benar-benar terkejut melihat keadaan itu. Aku melihat sebujur tubuh kaku yang telah dibaluti dengan kain putih itu adalah Erlina. Apa yang terjadi sebenarnya? Aku duduk di penjuru bersama Anis. Aku lihat Anis sudah tidak dapat menahan sebak dan akhirnya air mata Anis mengalir deras di pipi. "Di kala ini, aku tahu kau sangat bersedih Anis. Aku juga pilu melihat semua ini. Menangislah sepuas mu. Jika hanya itu yang mampu melegakan hati mu." Hati kecil ku berkata dengan penuh sayu.

Selama ini, dan seingat aku. Kali terakhir aku lihat Anis menangis adalah ketika arwah bapanya pergi meninggalkan dia kira-kira 4 tahun lepas. Seingat aku juga selain hal itu Anis juga pernah menitiskan air matanya di depanku ketika hubungan dia tewas bersama kekasihnya dulu.

Aku cuma sekadar kenal dengan saudari Erlina. Pernah juga sesekali berbual. Namun aku tidak pernah mengenali hati budinya. Aku yakin Anis lebih mengenalinya. Kerana aku tahu kisah antara mereka suatu masa dahulu.

Sedang aku meratapi keadaan pilu itu. Tiba-tiba seorang lelaki menjejaki pintu rumah. "Dia? Seperti aku kenal lelaki ini. Bukankah dia Rizal?" Kata ku sambil cuba mengingati. Aku kemudiannya memalingkan pandangan pada Anis. Aku lihat Anis juga sedang memandang lelaki itu. Pandangan Anis yang sungguh tajam di samping air mata yang masih mengalir.

Aku seperti lupa akan sesuatu hal dan peristiwa dahulu. Siapa lelaki itu? Hati ku mula berasa resah dan fikiran ku terus menerus menimbulkan pelbagai persoalan.


Bersambung..

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...